Source: https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2017/11/348891/gamification-beri-impak-besar-dagangan-saham

KUALA LUMPUR: ‘Gamification’ berpotensi memberi impak besar kepada industri kewangan dengan aplikasi permainan perdagangan saham mula menarik minat golongan millennial, kata Ryota Hayashi, Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengasas Finatext Ltd yang berpangkalan di Tokyo.

Gamification merujuk kepada penggunaan elemen permainan, seperti mata skor dan bersaing dengan pemain lain, ke dalam aktiviti lain seperti teknik pemasaran dalam talian dan perdagangan saham, bertujuan menggalakkan lebih ramai memahami dan berminat untuk melabur dalam pasaran saham secara dalam talian.

Hayashi berkata, pendekatan gamification adalah mudah dengan grafik berwarna yang menarik dan kawalan intuitif, satu pendekatan berkesan untuk menarik perhatian dan minat golongan muda hari ini.

Beliau berkata, applikasi Asukabu! yang dibangunkan Finatext dengan sokongan rakan kongsi Rakuten Trade Sdn Bhd, firma broker ekuiti dalam talian pertama di Malaysia, memberi tunjuk ajar kepada orang ramai berhubung asas pasaran dalam bahasa mudah.

Applikasi Asukabu!

“Anda boleh mula bermain permainan saham secara percuma dan kemudiannya boleh beralih kepada platform dagangan sebenar apabila sudah betul-betul bersedia,” katanya dalam satu temu bual dengan BH di acara sampingan Rakuten Fintech Track pada Persidangan Kewangan Digital SCxSC 2017 di sini, baru-baru ini.

Hayashi, 31, berkata aplikasi Asukabu! dibangunkan bertujuan mengembalikan keseronokan ke dalam sektor kewangan dan membuktikan mengenai salah tanggapan dagangan saham adalah menyulitkan.

Beliau yang berkhidmat di Deutsche Bank di London sebelum ini, berkata pengalaman di Jepun mendapati golongan millennial kurang memahami kewangan, tetapi dengan kemunculan gamification, aplikasi perdagangan pasaran saham sudah mula menarik minat golongan muda ke dalam industri.

“Tambahan lagi rata-rata generasi muda hari ini menggunakan peranti pintar mudah alih. Mereka tidak belajar menggunakan cara konvensional dan belajar secara gamification ini memudahkan mereka memahami selok belok perdagangan saham,” katanya yang adalah antara penceramah pada persidangan SCxSC 2017.

Pihaknya berhasrat menjadikan permainan perdagangan saham dalam talian sama menarik seperti permainan mengatur strategi dalam talian lain.

Aplikasi seperti itu sudah mula memberikan impak sebenar kepada industri kewangan.

Finatext adalah penyedia penyelesaian data besar dan mudah alih dengan matlamat menambah baik tahap celik kewangan dan merungkai potensi pelaburan rentas dunia.

Ia bekerjasama dengan beberapa institusi kewangan yang sudah bertapak dalam menyediakan penyelesaian bersesuaian bagi pasaran tempatan dan global.

Finatext menawarkan pelbagai platform pembelajaran pelaburan berasaskan mudah alih yang membantu pengguna memahami asas dunia kewangan sambil menikmati pengalaman perdagangan yang dipacu komuniti lagi dinamik.

Ia mula beroperasi pada Januari 2014 hari ini mengendalikan perkhidmatan rangkaian sosial mudah alih berkaitan saham, Forex, dan dana bersama terbesar di Jepun.

Di luar Jepun, ia sudah bertapak di United Kingdom, Vietnam dan Kuala Lumpur.

INFO

  • Finatext mengendalikan perkhidmatan rangkaian sosial mudah alih berkaitan saham, Forex, dan dana bersama terbesar di Jepun.
  • Finatext menawarkan pelbagai platform pembelajaran pelaburan berasaskan platform mudah alih yang membantu pengguna memahami asas dunia kewangan.